Waktu Solat

Ahad, 26 Februari 2012

Umrah Syaaban 1433

Perkataan Umrah dan ziarah merupakan satu perkataan sering kita dengar dan menarik perhatian ramai di kalangan Ummat Islam. Bukan sahaja ia sebagai satu ibadah tetapi ia juga menjadi satu peluang perniagaan kepada ummat Islam. Tidak dinafikan pensyariatan ibadah dalam Islam telah memberi kesan yang amat baik pada ekonomi ummat manusia. Sebagai contoh berkaitan ibadah solat. Di mana syarat-syarat sah solat telah memberi kesan kepada ekonomi ummat manusia yang sepatutnya lebih terkesan kepada ummat Islam. Antara syarat sah solat ialah menutup aurat. Dengan syarat tersebut maka ummat Islam perlu kepada kain dan baju serta seluar atau dengan istilah mudah pakaian yang menutup aurat. Dengan syarat tersebut maka sepatutnya ummat Islam membangunkan industri tekstil. Itu baru satu syarat sah solat, tidak diambil kira lagi masuk waktu yang memerlukan jam untuk memastikan solat yang dikerjakan benar-benar di dalam waktunya.


Umrah dan haji merupakan satu lagi contoh ibadah yang boleh meransang ekonomi ummat. Bagi mereka yang tinggal jauh dari kota Mekah dan Madinah dan ingin mengerjakan umrah atau haji memerlukan kewangan yang mencukupi. Keperluan kapal terbang, tempat tinggal serta makan minum telah mencetuskan fenomena industri perkhidmatan perlancongan. Seseorang tidak akan mampu pergi kalau tanpa kenderaan seperti kapal terbang. Seseorang mungkin akan menghadapi situasi yang menghalangnya untuk sampai kalau tidak diurus dengan baik. Oleh itu pakej-pakej yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat perlancongan bukan sekadar untuk mengaut keuntungan tetapi juga untuk membantu sesorang menyempurnakan umrahnya.


Pihak saya juga tidak terlepas untuk membantu saudara seislam saya bagi mengerjakan umrah pada tahun ini. Saya menawarkan pakej dengan konsep 'Umrah Untuk Semua'. Dengan konsep mudah dan telus serta memberi peluang kepada para peserta umrah memilih mana yang termampu baginya tanpa sebarang paksaan. Disamping itu keuntungan yang diambil sebahagiannya akan dimasukkan kedalam tabung kebajikan anak-anak yatim dan fakir miskin Sekolah Tahfiz Al-Islah(STAIL) dan Sekolah Menengah Arab Tahfiz(SMART). Oleh itu hasil daripada ibadah umrah ini mereka yang menyertai pakej ini akan membantu membangunkan ekonomi institusi STAILSMART dan anak-anak yatim serta fakir miskin. Bukan sekadar ibadah umrah dapat dilaksanakan malah disamping itu ibadah sedekah juga dapat dilaksanakan.


Kepada yang berminat untuk mengikuti program Umrah ini sila lihat maklumat dibawah dan hubungi saya segera.


Tarikh : 1.7.2012

Jumlah hari : 12 hari termasuk perjalanan

Penerbangan: Pergi dengan Lankan Air dan Pulang dengan Saudi Air

Harga Tiket : RM 3200(sehingga hari ini 27.2.2012)


Harga tiket tidak termasuk visa, pengangkutan, makan minum dan zirah


Hubungi saya untuk keterangan lanjut: 0134881601/0194651656/045732622 (email: mudiram@gmail.com)

Ahad, 29 Januari 2012

Sekadar renungan..

Bila bercakap mengenai tarbiyyah pasti akan tergambar perkataan terjemahannya pendidikan. Ayah dan ibu adalah murabbi. Guru juga murabbi. Murabbi itu ialah pendidik. Siapa yang hendak dididik? Apa yang hendak dididik? Untuk apa kita dididik? Banyaknya persoalan berkaitan tarbiyyah perlu dijawab. Suami mendidik isteri agar isteri jadi apa? Ayah didik anak agar jadi apa? Guru didik murid untuk jadi apa? Naqib usrah didik anak buah untuk jadi apa? kita didik diri kita untuk jadi apa? Jawapannya pasti untuk jadi hamba Allah yang bertaqwa. Nah kalau untuk jadi insan bertaqwa, bertaqwa apa pula maknanya? Bertaqwa itu maknanya menjunjung tinggi segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangannya. Abu Darda' pula berkata jaga iman agar tidak koyak dek duri maksiat. Apakah pula suruhan dan larangan Allah itu? Nak tahu kena la belajar..tapi ada juga orang yang belajar dan tahu macam-macam tapi masih lawan Allah dan Rasul... Oleh itu, belajarlah dari guru yang mursyid.. guru yang beramal dengan ilmunya. Oleh itu kesimpulannya seperti di bawah:


Tarbiyyah+Guru soleh(mrsyid)+Muridnya taat = Insan bertaqwa. (mudah saja, sekarang pergi cari guru mursyid dan bukakanlah hatimu untuk menerima segala ajarannya insyallah kita akan bertaqwa..


Sabda Rasulullah s.a.w:


افات الدين ثلاثة فقيه فاجروامام جائرو مجتهد جاهل


Rosak agama dengan sebab 3 jenis manusia, ahli agama yang jahat, pemimpin yang zalim dan orang bodoh berlagak pandai..

Selasa, 22 November 2011

Peralatan Kem Hafazan

Insyallah Kem Hafazan Al-Quran Kali Ke 7 akan diadakan pada 27 November 2011(mula jam 8.30pagi) hingga 4 Disember 2011(berakhir pada jam 2.00ptg), bertempat di Sekolah Tahfiz Al-Islah Tasek Gelugor. Terbuka kepada anak-anak berusia 8 tahun hingga 15 tahun putera dan puteri.


Yuran Penyertaan RM 240.00 termasuk makan minum dan tempat tinggal.


Untuk urusan pendaftaran sila hubungi saya Ustaz Ahmad Fahmi ditalian 013-4881601 atau mualimah Wardah ditalian 019-4651656. (sms nama anak dan umur sahaja)


Pengisian Program

1. Hafazan surah-surah pilihan
2. Hafazan dan memahami makna bacaan dalam solat (ada buku khas wajib beli)
3. Ceramah agama dan motivasi
4. Solat fardhu dan sunat
5. Latihan dalam kumpulan
6. Berkelana
7. Riadhah
8. Qiamulail
9. Tilawah Al-Quran

10. Kuliah

Peralatan yang perlu dibawa:

1. Mushaf Al-Quran
2. Sejadah
3. Selimut
4. Jubah putih untuk lelaki dan tudung putih untuk perempuan
5. Pakaian solat
6. Pakaian sukan
7. Kasut sukan
8. Peralatan Kemas Diri
9. Pinggan plastik/mangkuk plastik/sudu dan garpu
10. Bantal

Selasa, 11 Oktober 2011

Trip To USA Bahagian Akhir

Kelemahan ummat Islam ialah bermula dengan lemahnya iman dan ilmu. Itulah yang boleh saya simpulkan sepanjang pengalaman mengikuti program IVLP di U.S. Semasa melawat Universiti dan High School milik masyarakat yahudi, saya dan rakan-rakan sempat berdiskusi dan cuba memahami kekuatan dan kelemahan golongan ini. Sememangnya mereka amat mencintai bumi Palestin sehingga bendera Israel berkibar bersama dengan bendera U.S. Kami dilayan dengan baik oleh mereka dan alhamdulillah pengalaman berintraksi secara langsung dengan mereka telah membuka lagi minda dan pengalaman dakwah saya. Saya berazam pulang nanti saya akan melaksanakan program yang lebih baik bagi melawan dan menandingi kekautan ummat Yahudi. Bayangkanlah kekuatan ilmu mereka, di mana mereka boleh menguasai dunia dengan hanya 13 juta orang. Dimana ummat Islam yang mempunyai 1.8billion orang Islam di seluruh dunia. Malah ketika hendak pulang sempat lagi, seorang Rabai menunjukkan gambar seorang tenteranya yang ditangkap oleh Hamas dan minta tolong desak Hamas agar membebaskan tenteranya yang disifatkan baik dan penyayang.




Kesempatan bertemu dengan bekas pimpinan ISNA dan melawat sekolah milik beliau, saya rasa ummat Islam di U.S sedang bertungkus lumus untuk menegakkan Islam kerana mereka merasakan ketidakselesaan berada di bumi kuffar malah sebagai ummat minoriti. Dengan rasa ketidakselesaan ini telah menyebabkan ummat Islam bersatu dan bangkit untuk menongkah segala cabaran dan dugaan. Namun apa yang berlaku di Malaysia dan negara majoriti ummat Islam mereka rasa berada di dalam zon selesa hingga akhirnya berada dalam keadaan bermimpi dan nyenyak tidur tanpa rasa ingin bangkit dan bangun untuk mencipta dan meraih kemuliaan. Sempat juga kami berkunjung ke rumah seorang muslim yang berperanan sebagai pengantara antara kami dengan State Department U.S untuk membuat konkulusi program yang kami ikuti. Hasil pertemuan itu saya faham bahawa apa yang U.S inginkan daripada kami ialah agar kami menjadi seorang Islam yang liberal dan bersikap pluralistik. Saya rasa terlalu marah, dengan konklusi ini dan rasa ingin sekali berdebat namun keterbatasan kemahiran bahasa menyebabkan hasrat itu saya simpan.


Sekarang saya sudah pun sampai ke rumah, bertemu dengan anak-anak dan isteri tercinta dengan azam dan semangat yang baru. Saya ingin membina sekolah dan masyarakat madani yang diimpikan bermula dengan perubahan sikap dan cara berkerja terutamanya di rumah dan sekolah saya. Jikalau inginkan sagunya, pecahkanlah ruyungnya, kalau inginkan negara Islam, tegakkanlah Islam dalam diriku, kemudian rumahku, kemudian, sekolahku, kemudian masyarakatku, kemudian......akhirnya tertegaklah negara Islam yang dirindu... Moga Allah sentiasa menunjukkan jalannya kepada kita semua, wassalam.. (Rabu 12 Oktober 2011 6.55pagi)

Jumaat, 7 Oktober 2011

Trip To USA 12






Kota Los Angeles merupakan sebuah pusat bandar hiburan yang terbesar di dunia.Di sinilah letaknya Hollywood yang menerbitkan pelbagai movie dan dituntun diseluruh dunia. Apa yang ada di kota ini untuk saya sebagai seorang ahli pendidikan. Namun begitu kaki saya tetap mengijak bumi L.A California sebagai destinasi lawatan terakhir, sebelum bertolak ke pulang ke Malaysia. Persoalan mengenai apalah gunanya kami dibawa ke sini terjawab, apabila kami berkesempatan untuk melihat secara lebih dekat isi kandungan yang ada di L.A. Ketika kami di sini, kami di bawa ke sekolah-sekolah Islam, masjid, Universiti dan sekolah Yahudi, pusat theater dan sekitar bandar L.A termasuklah China Town. Hari ini(Jumaat 7 Oktober) kami akan bertolak ke Pusat Islam dan bersolat Jumaat di sana.


Lawatan pertama kami ialah, ke sekolah Montessouri yang terletak dipinggir bandar L.A. Falsafah pendidikan pendidikan montessouri ini ialah belajar melalui pengalaman hidup dan menjadikan diri hebat dan berdikiri dengan kekuatan tersendiri yang dianugerahkan Allah kepada individu tersebut. Association Montessouri Internatinale(AMI) merupakan badan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1929 oleh Dr.Maria Montessouri. Pengalaman lawatan membuka mata saya betapa kreativiti di dalam mencipta sistem pendidikan baru adalah penting. Apa yang berlaku di negaraku yang tercinta, kebebasan untuk berkreatif terbantut dengan dasar kerajaan yang terlalu berpolitik. Sempat juga tadi saya membaca, ulasan belanjawan negara yang dibentang oleh PM, menunjukkan betapa sampai dasar negara masih lagi tidak berubah iaitu budaya subsidi dan gula-gula untuk pilihanraya. Tiada langsung dasar pendidikan yang bebas dan terbuka diperkenalkan seperti, pemberian tanah ladang secara pajakan kepada sekolah-sekolah agama untuk menjana pendapatan sendiri. Kerajaan hanya tahu bagi ikan bukan bagi pancing dan cara menggunakan pancing. Berbeza di U.S ummat Islam dan semua agama tidak dibantu secara langsung oleh kerajaan, tetapi kebebasan diberikan oleh pihak kerajaan untuk berkreativiti dan mengembangkan institusi mereka.


Lawatan saya ke sekolah Islam, di sini telah menyebabkan saya mengeluarkan satu kata-kata kepada pengurusnya yang berketurunan arab Palestin, kita kena bezakan antara sekolah Islam dengan sekolah orang Islam. Ini kerana apa yang saya lihat majoriti pekerja dan pelajar wanitanya tidak menutup aurat. Ya mungkin ada alasan-alasan yang tersendiri untuk mereka namun bagi saya identiti sebuah ummat perlu juga dijaga seperti mana orang cina dan india yang begitu kuat menjaga identiti mereka. Namun begitu saya tetap mengucapkan syabas kepada mereka kerana berjaya mengurus sebuah sekolah untuk ummat Islam di sebuah negara sekular seperti U.S. Di sebelah malamnya saya berkesempatan menonton theater di pusat penerimaan award hollywood dengan harga USD130 sekitar RM400,(tiket disediakan oleh U.S). Setelah melihat theater tersebut saya terbayangkan bagaimana hendak mengwujudkan kemahiran tersebut kepada pelajar-pelajar sekolah menengah saya. Kalau sekolah anakanda saya Farwah Gontor nampaknya sudah hampir untuk melaksanakannya kenapa tidak sekolah saya tidak mampu. Uhhh...banyak sungguh kerja yang dilaksanakan oleh saya dan sahabat2ku..

Kelmarin, kami melawat pusat pendidikan Yahudi. Pergi sekolah yahudi hendak bersalam dan berjumpa dengan orang yahudi sedangkan hati meluat dan benci kepada yahudi...? Bagaimana agaknya muka para pengganas ini... pembunuh ummat Islam, perogol saudara maraku yang muslim...? Oppp..,. saya tak ada masa untuk menulis lagi, kerana masa untuk lawatan ke pusat Islam L.A sudah hampir, insyallah nanti saya ceritakan dalam Trip to USA yang terakhir.

Khamis, 6 Oktober 2011

Trip To USA 11











Kursus IVLP kami sejak dari awal telah dimakumkan bertujuan untuk memperkenalkan U.S dan memahamkan masyarakat dunia mengenai U.S disamping untuk bertukar pandangan dan maklumat antara negara. Selama kami berada di rumah keluarga angkat di Paris Illinois, kami telah mempelajari banyak perkara berkaitan budaya masyarakat dan kehiduapan agama kristian di U.S. Bermula dengan makan malam di rumah yang terletak ditengah ladang jagung dan kacang soya yang luasnya ratusan hektar hinggalah lawatan ke gereja dan sekolah, telah banyak membuka mata saya untuk pulang membuat beberapa perubahan terutama di dalam hal pendidikan dan dakwah. Semasa saya sampai sahaja di rumah keluarga angkat kami yang terletak jauh di tengah ladang, saya amat teruja kerana kebersihan rumah mereka dan tersusunnya reka bentuk rumahnya. Rumah keluarga angkat ini terletak di atas sebidang tanah seluas 23 ekar, dengan dikelilingi ladang jagung, kacang soya dan pokok oak serta hutang.

Budaya orang kristian seperti yang sering ditonton di kaca T.V mereka akan berdoa sebelum makan malam dan makan siang semasa di rumah. Umat Islam tidaklah disuruh berdoa seperti orang kristian berdoa, oleh itu setiap kali datang makanan kita disuruh untuk berdoa agar makanan yang dikurniakan itu membawa keberkatan dan dijauhkan kita daripada api nereka. Tetapi berapa ramai umat Islam yang apabila hadir sahaja makanan tidak membaca doa dan tidak pula membaca basmalah ketika hendak makan? Lupa pula hendak menyatakan nama ibu dan bapa angkat saya.. Ibu angkat saya Barbara dan bapa angkat pula namanya David. Mereka mempunyai 2 orang anak, perempuan bekerja sebagai guru dan lelaki bekerja sebagai doktor. Mereka sememangnya orang kaya dan penyokong republikan, dan penyokong republikan ramainya orang kulit putih dan kuat berpegang dengan agama kristian protestant. Sempat saya pergi melawat gereja pada hari Ahad bersama keluarga angkat ini untuk melihat cara sembahyang mereka. Ketika sampai di gereja, saya disambut oleh pihak gereja dan mereka menunjukkan tempat untuk saya. Saya pula seorang diri ketika itu kerana rakan saya Ustaz Khalil sakit perut pada hari itu. Saya duduk dikerusi belakang dengan seorang nenek tua berusia 90tahun. Nama saya diumumkan sebagai tetamu dari Malaysia di dalam majlis tersebut. Apa yang saya lihat di setiap tempat duduk mereka, terdapat bible dan dihadapan pulak ada tempat berucap serta pemain muzik serta barisan penyanyi serta kerusi untuk Paderi. Inilah pengalaman pertama masuk ke gereja dengan upacara sembahyang dijalankan. Sesampai saja saya terus sakit kepala dan tengkuk saya terasa amat sakit. Saya amat rasa gementar dan takut, dan bibir saya tak berhenti berzikir dan membaca Al-Quran terutama ketika upacara sembahyang mereka dijalankan. Alhamdulillah sedikit demi sedikit sakit kepala pun hilang. Alhamdulillah dengan sedikit hafazan Al-Quran yang ada di dada telah dapat menenangkan hati dan memberi kekuatan, dan ketika ini barulah terasa betapa Al-Quran penawar bagi godaan syaitan dan pengawal segala keburukan. Ketika mereka bangun menyanyi dan berdoa saya tetap ditempat duduk tanpa bangun sedikit pun. Untuk apa saya bangun? Saya agama saya, dan saya datang bukan untuk bersembahyang seperti mereka tetapi hanya untuk mengetahui lebih dekat cara mereka beribadah. Sepanjang berada di dalam gereja itu saya membelek-belek kitab bible dan terbaca mengenai kisah nabi Adam dan anak-anaknya. Sememangnya ada persamaan juga dengan kisah nabi Adam di dalam Al-Quran tetapi bukanlah semua. Selesai sembahyang mereka pun mengedarkan roti dan air holy water, dan sekali lagi saya tetap tidak memakan dan mengambilnya. Apa yang menarik juga yang ingin kongsi ialah apabila seorang pemuda tampil ke hadapan dan bertanya kepada hadirin, mengenai umur-umur para hadirin. Setelah ditanya beliau berkata ke mana orang-orang muda kerana yang hadir hanyalah golongan tua sahaja iaitu 40 tahun ke atas. Saya ketika itu terus teringatkan situasi masjid di negara tercinta terutama di negeri tempat tinggal saya. Apakah masjid negara dan negeriku juga sudah hampir menjadi situasi seperti gereja yang menjadi tempat untuk golongan tua sahaja? Kenapa saya katakan masjid negara dan negeri saya? Ini kerana masjid di U.S kebanyakan yang hadir ialah golongan muda malah yang berkhutbah Jumaat juga orang muda.. tetapi di Malaysia, bagaimana??


Sempat juga kami di sini membuat satu program untuk mereka iaitu program memperkenalkan budaya Malaysia dan agama Islam. Bagi pihak wanita mereka menyediakan masakan tradisi malaysia dan kami pihak lelaki menyediakan persembahan, seperti bacaan Al-Quran, syarahan agama dan persembahan silat.Sepanjang di sini kami dibawa melawat sekolah dan ladang. Ada ladang soya, labu dan jagung. Hari akhir dan malam terakhir, kami telah dibawa di suatu tempat perkelahan iaitu iaitu Pumpkin House. Di situ kami bermain lorong tikus, camp fire(memang patut pengakap buat camp fire sebab sejuk disini bukan sebab depa sembah api) sambil membakar hotdog yang khas dibeli daripada kedai Yahudi(sembelihan yahudi boleh dimakan dan orang yahudi memang jaga bab makanan). Selepas makan kami dibawa naik treler pusing ladang jagung, soya dan labu. sepanjang perjalanan itu kami sempat melihat gerombolan rusa-rusa yang berlari-lari di kawasan ladang. Rusa di sini boleh ditembak dan ditangkap kerana ia bukan binatang perlindungan tetapi perosak tanaman para peladang. Labu di sini besar-besar bukan seperti di Malaysia. Pengalaman berjalan bersama keluarga besar kami di celah ladang2 ini pasti tidak dapat dilupakan dalam hidup kami. Pulang ke rumah malam itu, terus saya berkemas kerana esok kami akan bertolak ke destinasi terakhir kami iaitu Los Angeles tepat jam 6.30pagi... Ibu angkat saya siapkan bekal sebelum bertolak pada pagi itu dan kami berpisah dengan perasaan yang agak sebak kerana layanan yang mereka berikan amat baik tetapi mereka tidak memperolehi hidayah. Moga kedatangan kami membuka hati dan perasaan mereka untuk mengenali Islam dan seterusnya memeluk Islam. Selamat tinggal Paris, Illinois moga anda semua beroleh hidayah dari Allah..

Rabu, 5 Oktober 2011

Trip To USA 10




Alhamdulillah, pada tanggal 1 Oktober 2011, sampailah kami di Paris, Illinois yang merupakan bandar kecil yang mempunyai 9000 orang penduduk. Bandar kecil ini, ramai yang tidak tahu letaknya hatta orang Malaysia yang tinggal di U.S pun terkejut bila mendengar nama Paris disebut. Ramai yang tidak tahu bahawa di U.S ada tempat yang bernama Paris. Kami bergerak menuju Paris dengan menaiki bas limosin dan mengambil masa 2jam lebih daripada Indianapolis untuk sampai ke situ. Apa yang mendebarkan saya ialah kali ini kami akan tinggal di 'Homestay'. Perkataan 'Homestay' di Malaysia amat berlainan dengan hakikat di U.S. Jikalau di Malaysia banyak Homestay yang merupakan rumah dijadikan sewaan dan tiada tuan rumah. Tetapi di U.S homestay merujuk kepada rumah tumpangan yang ada tuan rumah dan hidup seperti keluarga dengan tuan rumah.



Kami yang seramai 8 orang telah dibahagikan kepada 4 kumpulan dengan 4 keluarga angkat. Suasana sungguh tenang dan damai.. Sebelum dibawa ke rumah keluarga angkat masing-masing, kami di bawa ke program pengumpulan dana, di twin lake. Pengalaman dan maklumat baru telah dapat saya kutip daripada program tersebut. Kreativiti mereka menganjurkan program dengan pelbagai aktiviti menarik boleh saya gunakan di dalam mencari dan mengembangkan pengumpulan dana STAIL&SMART. Aktiviti penjualan buku terpakai dan pemberian buku percuma kepada mereka yang susah merupakan salah satu contoh yang amat menarik untuk dicontohi oleh sekolah dan NGO di Malaysia. Program ini menjadi one stop center untuk para 'penjual kebajikan' iaitu menjual dan membeli sambil menderma. Di sini saya juga melihat banyak aktiviti permainan yang menarik untuk dicontohi dan boleh diterapkan kepada guru-guru saya nanti. Selepas penat memerhati dan melihat aktiviti-aktiviti tersebut. kami pun mulalah bergerak menuju ke rumah keluarga angkat kami dengan keluarga masing-masing. Berdebar hati saya, kerana kami akan tinggal dengan mereka selama 4hari. 4 hari tinggal dengan keluarga kristian, rumah mereka macam mana, dan layanan mereka macam mana, malah makanan pula macam mana? Semua persoalan itu bermain di kepala saya........